PETALING JAYA – Pasukan Selangor FC belum mengibarkan bendera putih dalam misi memburu status ‘No. 2’ Liga Super selepas menewaskan Imigresen FC 4-0 dalam aksi Liga Super sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium MB Petaling Jaya itu, skuad Gergasi Merah kendalian Kim Pan-gon membariskan kesebelasan terbaik dengan Chrigor Moraes, Faisal Halim dan Hugo Boumous mengetuai jentera serangan.
Pasukan tuan rumah dilihat agak bergelut pada awal saingan tetapi masih berjaya mendahului hasil tandukan Chrigor pada minit ke-28 selepas menerima hantaran tepat Faisal.
Jaringan tersebut menaikkan semangat skuad Merah Kuning untuk meraih keputusan selesa sebelum berakhir babak pertama selepas pertahanan, Zikri Khalili meledak gol kedua pada masa kecederaan.
Bersambung pada babak kedua, Selangor terus garang apabila melebarkan kelebihan jaringan dengan Chrigor meledak gol kedua peribadi sekali gus tampil serius memburu gelaran kasut emas Liga Super musim ini pada minit ke-79.
Pemain import baharu, Vitor Pernambuco meledak gol keempat untuk melengkapkan malam gemilang Selangor dengan keputusan 4-0 kekal hingga wisel penamat.
Keputusan tersebut menyaksikan Selangor berada di kedudukan ketiga dengan tiga mata dibelakang KL City yang berada di kedudukan kedua dengan 39 mata.
Kedua-dua pasukan bakal berentap pada aksi derbi Lembah Klang di Stadium KL, Cheras, Ahad depan. – KOSMO! ONLINE














