fbpx
Gambar hiasan.

‘Lega tak perlu jawab soalan dapat berapa A raya nanti’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang dibuat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nyata melegakan ramai calon apabila mereka tidak lagi perlu berdepan soalan sensitif daripada saudara-mara ketika berkunjung ke rumah terbuka.

Tinjauan di media sosial mendapati rata-rata pelajar meluahkan rasa gembira kerana penangguhan pengumuman keputusan itu memberi ruang untuk mereka menikmati suasana Aidilfitri dengan lebih tenang tanpa perlu memikirkan tekanan mengenai pencapaian masing-masing.

Bagi kebanyakan calon, soalan seperti ‘Dapat berapa A?’, ‘Nak sambung belajar mana?’ atau ‘Keputusan ok tak?’ sering menjadi antara perkara yang paling mahu dielakkan setiap kali bertemu ahli keluarga ketika musim perayaan.

Seorang calon, @MuhdIskandar, berkata, keputusan diumumkan selepas raya sedikit sebanyak mengurangkan tekanan emosi kerana dia dapat memberi tumpuan kepada sambutan Aidilfitri bersama keluarga.

“Tahniah kepada Batch 08, keputusan SPM akan diumumkan pada 31 Mac 2026, jadi hari raya pertama sampai ketujuh kita dapat beraya dengan tenang dengan keluarga,” katanya.

Seorang lagi calon, @Rrena33 berkata dia bersyukur keputusan SPM diumumkan selepas raya sekali gus mengurangkan kos bebanan belanja untuk pulang ke asrama ketika bulan puasa ini.

“Kami yang sekolah asrama ni tak dan nak pergi sekolah kami waktu puasa ni. Duit perjalanan kos apa semua nak pakai waktu raya nanti. Lagi pun raya nanti kami lama dah tunggu nak raya tanpa tekanan akademik,” katanya.

Sementara itu, bagi ibu bapa, pengumuman selepas raya juga memberi kelegaan kepada mereka kerana mereka tidak perlu melihat anak berdepan tekanan berganda ketika sepatutnya menikmati momen bersama keluarga.

“Selamat anak-anak dari ditanya soalan SPM dapat berapa masa awal raya nanti,” komen Intan Shafinaz.

“Maka dengan ini mak cik pak cik bawang tak ada modal nak banding-banding keputusan SPM masa raya nanti. Berayalah dengan aman ya wahai anak-anak,” komen Ivanivy Vinery.

“Kalau umum sebelum raya, takut nanti ada yang menangis dah menganggu puasa, kemurungan terus tak nak blik kampung beraya, kalau tidak kalut juga nak buat macam-macam permohonan masuk universiti, dapatkan cop pengesahan dan lain-lain,” komen Razemim Mie.

“Alhamdulillah raya de gan tenang… Kalau tak mahu kalut dengan segala permohonan universiri, minta cop sana sini lah. Terima kasih sebab anjak lagi tarikh ke depan,” komen Hani Ani pula.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2025 akan diumumkan pada 31 Mac ini (Selasa).

KPM berkata, seramai 413,299 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Menurut KPM, calon sekolah boleh mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing di sekolah mulai pukul 10 pagi pada tarikh tersebut.

“Bagi calon persendirian pula, mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mendaftar untuk memperoleh keputusan peperiksaan.

“Pihak sekolah hendaklah memastikan pengurusan penyerahan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2025 kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN