fbpx
Gambar yang dikongsi guru tersebut di Facebook miliknya hari ini.

JPN, apa nasib Jolina?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang guru sekolah alternatif mendakwa seorang remaja perempuan daripada komuniti Bajau Laut masih gagal memperoleh dokumen pengenalan diri selepas setahun berulang-alik ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menguruskan sijil kelahiran daftar lewat.

Guru berkenaan, Mukmin Nantang berkata, remaja dikenali sebagai Jolina itu sepatutnya layak memperoleh dokumen kerana ibunya merupakan warganegara Malaysia yang memiliki kad pengenalan.

Menurutnya, sepanjang tempoh setahun bermula Februari 2025 hingga Februari 2026, pelbagai usaha dilakukan termasuk menyediakan dokumen sokongan, membuat laporan polis, mendapatkan pengesahan pesuruhjaya sumpah serta membawa saksi keluarga bagi menyokong permohonan tersebut.

“Namun selepas setahun berurusan dengan JPN Semporna, permohonan Jolina dimaklumkan ditolak secara lisan tanpa surat rasmi, tanpa sebab dan tanpa penerangan mengenai tindakan lanjut yang boleh dilakukan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Mukmin berkata, selepas beliau mendesak agar pihak JPN mengeluarkan dokumen rasmi, surat penolakan akhirnya diberikan seminggu kemudian dengan alasan bukti kelahiran yang dikemukakan tidak kukuh.

Bagaimanapun katanya, semua dokumen diminta sebelum ini sudah disediakan termasuk akuan bersumpah bagi menggantikan dokumen yang tiada serta kehadiran ibu kandung sebagai saksi.

“Pihak JPN kemudian meminta semua dokumen disediakan semula dari awal. Persoalannya, ke mana perginya dokumen yang sudah dihantar sebelum ini?” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa pemohon tidak dimaklumkan mengenai laluan rayuan atau pilihan lain seperti ujian DNA bagi mengesahkan hubungan antara Jolina dan ibunya.

Menurut Mukmin, berdasarkan Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan, seseorang individu layak menjadi warganegara Malaysia secara automatik sekiranya dilahirkan di Malaysia dan sekurang-kurangnya salah seorang ibu atau bapanya merupakan warganegara.

Katanya, kekeliruan prosedur seperti itu menyebabkan ramai penduduk kampung khususnya dalam komuniti Bajau Laut akhirnya berhenti menguruskan dokumen kerana berdepan proses birokrasi yang sukar difahami.

“Sampai bila perkara ini harus berlaku? Anak ini tidak boleh dibiarkan terus hidup tanpa identiti sedangkan ibunya warganegara Malaysia,” katanya.

Mukmin turut menyatakan kesediaannya untuk bertemu mana-mana pihak daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mencari penyelesaian terhadap kes tersebut dan isu lebih besar berkaitan individu tanpa dokumen di Sabah. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI