KUALA TERENGGANU – Jenazah remaja, Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19, yang maut dalam kemalangan selepas tiga hari dilaporkan hilang di Besut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syeikh Ibrahim, Jalan Pusara, di sini sebentar tadi.
Upacara pengebumian jenazah remaja itu yang dihadiri hampir 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara, rakan dan penduduk selesai sepenuhnya pada pukul 2.50 petang. Sebelum itu, jenazah anak sulung daripada lima beradik dibawa ke Masjid Khalifah Taman Jaya untuk disolatkan.
Bapa Allahyarham, Ahmad Azhar Mohamad Yusof, 59, bersyukur kerana urusan pengebumian anaknya berjalan lancar dan jenazah remaja tersebut juga sempurna biarpun dijumpai selepas tiga hari meninggal dunia.
“Memang sedih, namun saya reda dengan pemergian anak pada bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya ketika ditemui.
Sebelum ini, mayat mangsa dijumpai bersama motosikalnya jenis Yamaha Y15 di kawasan semak berhampiran Kampung Bukit Jeruk, Besut pada pukul 6.40 petang semalam.
Pembantu kedai makan itu gagal dikesan ketika dalam perjalanan mengikuti keluarganya bercuti ke Cameron Highlands, Pahang pada Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE






