JOHOR Darul Ta’zim (JDT) memberi komitmen penuh untuk terus menyokong tiga pemain warisan sehingga tempoh penggantungan berakhir selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan yang dikemukakan oleh mereka, minggu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, pengurusan Harimau Selatan akan terus berada di belakang tiga pemain terbabit iaitu Joao Figueiredo, Hector Hevel dan Jon Irazabal sepanjang baki tempoh penggantungan yang dijangka berakhir pada Oktober depan.
Garcia berkata, walaupun situasi tersebut sukar buat ketiga-tiga pemain berkenaan, JDT tidak akan sesekali meninggalkan mereka ketika berdepan detik mencabar.
“JDT berdiri teguh bersama tiga pemain kami, Figueiredo, Hevel dan Irazabal sepanjang tempoh baki penggantungan mereka.
“Kami memahami bahawa situasi ini mencabar buat para pemain, namun kami akan sentiasa menyokong mereka sebagaimana yang sering ditekankan oleh pemilik kelab kami, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim: ‘Never leave a soldier behind (jangan abaikan sesiapa),’” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Garcia turut gembira apabila tiga pemain itu masih dibenarkan menjalani latihan bersama skuad utama serta terlibat dalam aktiviti walaupun digantung daripada aksi kompetitif.
“Ketiga-tiga pemain ini akan terus menjalani latihan bersama skuad utama dan kekal terlibat dalam aktiviti pasukan seperti yang dibenarkan oleh CAS,” katanya.
Sebagai rekod, semua pemain terbabit telah dijatuhkan hukuman penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada September lepas susulan isu pemalsuan dokumen.
Disebabkan CAS telah memberi kelonggaran selama sebulan untuk beraksi dengan kelab masing-masing pada Februari lalu, semua pemain ini dijangka kembali beraksi semula secara kompetitif pada November depan.














