fbpx
ZAHARAH (tengah) bersama tiga adiknya ketika menerima replika kunci rumah baharu di Bukit Palah, Melaka.

Dulu tinggal dalam khemah, 6 beradik OKU beraya di rumah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Hari Raya Aidilfitri tahun ini menjadi momen paling bermakna buat enam beradik orang kurang upaya (OKU) lembam apabila dapat berkumpul di rumah baharu mereka.

Menurut Zaharah Bulat, 64, sebelum ini, dia bersama adik-adiknya terpaksa berpisah selepas rumah yang dibina di atas tanah pusaka keluarga di Bukit Palah dirobohkan kerana tidak lagi selamat untuk didiami.

Katanya, dia dan adiknya, Rape’ah, 62, kemudian menumpang di rumah saudara, manakala empat adik lelaki iaitu Sofian, 57, Suhaimi, 55, Shahrin, 53, dan Mohd. Khairi, 45, tinggal dalam khemah berhampiran tapak rumah.

“Sebelum ini bimbang juga menumpang di rumah saudara, manakala adik-beradik lelaki tinggal dalam khemah. Sekarang kami gembira kerana dapat bersatu semula dan menyambut Aidilfitri bersama di rumah baharu,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah di Bukit Palah hari ini.

Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin.

Sementara itu, Mohd. Ridhwan berkata, pembinaan rumah tersebut dibiayai oleh DMDI dengan peruntukan sebanyak RM60,000 dan berjaya disiapkan dalam masa hanya 16 hari.

Katanya, projek tersebut dilakukan dengan kerjasama sebuah syarikat kontraktor yang menawarkan harga pembinaan lebih rendah berbanding kos asal RM90,000 sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka.

“Kami dimaklumkan rumah asal mereka terpaksa dirobohkan kerana tidak selamat diduduki. Sepanjang tempoh pembinaan, enam beradik tersebut tinggal dalam khemah selama hampir sebulan.

“Kejayaan menyiapkan rumah dalam masa singkat amat bermakna kerana ia memberi tempat perlindungan lebih selesa kepada keluarga tersebut pada bulan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.

Sementara itu, Kalsom memaklumkan, keluarga tersebut mendapat perhatian masyarakat kerana hidup dalam keadaan serba kekurangan dan mencari wang belanja dengan mengumpul barangan kitar semula. Setiap mereka menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN