SEBERANG JAYA – Seorang bayi lelaki berusia empat bulan maut dipercayai akibat didera pengasuhnya di sebuah taska yang terletak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, hari ini.
Mangsa, Hayl Haarith Mohd. Syafaeez, dikejarkan ke hospital itu selepas ditemui tidak sedarkan diri di taska berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia.
Bapa saudara mangsa, Ahmad Lutfihadi Wahab, 31, berkata, keluarganya dimaklumkan mengenai tragedi itu selepas ibu bayi berkenaan menerima panggilan daripada pihak taska.
“Adik saya (ibu mangsa) yang sedang bekerja syif malam di hospital ini menghubungi saya memaklumkan keadaan anak saudaranya itu selepas doktor melakukan bantuan pernafasan (CPR) kira-kira satu jam.
“Saya kemudian memohon kebenaran untuk melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di taska berkenaan dan mendapati memang terdapat unsur jenayah termasuk penderaan terhadap anak saudara saya.
“Rakaman itu sangat menyedihkan dan mengecewakan keluarga kami, sebab itu saya membuat laporan polis supaya perkara ini disiasat,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya di sini, hari ini.
Katanya, bayi tersebut dihantar ke taska berkenaan sejak beberapa bulan lalu selepas ibunya kembali bekerja sebaik tamat tempoh berpantang.
Menurutnya, keluarga memilih taska itu kerana lokasinya yang berada dalam kawasan hospital selain berhampiran dengan kediaman mereka.
“Kami sangka tempat itu selamat kerana berada dalam kawasan hospital, tetapi tidak menyangka perkara seperti ini boleh berlaku.
“Keluarga kami berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kerana kes ini melibatkan kehilangan nyawa. Jenazah akan dibawa pulang ke Terengganu untuk dikebumikan berhampiran pusara nenek mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE














