TIADA apa yang lebih indah buat ‘The Pocket Rocketman’, Datuk Azizulhasni Awang selain menutup tirai penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia dengan kilauan emas yang cukup manis di Perth, Australia, malam kelmarin.
Biarpun sudah mencecah usia 38 tahun, jaguh kelahiran Dungun, Terengganu itu membuktikan taringnya masih berbisa apabila merangkul pingat emas acara keirin pada Siri Piala Dunia Berbasikal Trek UCI dengan menumbangkan pelumba utama dari Britain, Matthew Richardson.
Kemenangan itu diraih menerusi aksi photo finish yang cukup mendebarkan, di mana Azizulhasni bijak menghidu peluang untuk memintas Richardson di garisan penamat dengan perbezaan 0.002 saat sebelum melakukan aksi ‘wheelie’ ketika menuju di garisan penamat.
“Ia adalah malam yang ‘gila’ dan sukar dipercayai bagi saya. Walaupun berasa sedikit penat pada sebelah pagi, saya melakukan pelarasan kecil dan berjaya mengekori rapat Richardson yang sangat laju.
“Menang di pentas besar pada usia 38 tahun adalah sesuatu yang luar biasa. Mereka sangat laju. Saya rasa saya agak bertuah.
“Dia sangat kuat, tetapi saya rasa saya mempunyai kelebihan dari segi pengalaman berbandingnya malam ini,”katanya yang mendedikasikan kejayaan tersebut buat jurulatih kesayangannya, John Beasley yang kini sedang berehat selepas menjalani pembedahan.
Azizulhasni mengesahkan berita sedih buat peminat sukan tanah air apabila mengumumkan musim ini merupakan penampilan terakhirnya dalam saingan Piala Dunia selepas hampir dua dekad mewarnai sukan berbasikal trek antarabangsa.
Pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa di Rio 2016 yang kini bergerak secara profesional itu tidak akan menyertai siri kedua di Hong Kong pada 17 hingga 19 April ini namun akan menyertai siri terakhir di Velodrom Nilai, 24 hingga 26 April.
Jelasnya, tumpuannya selepas ini akan beralih sepenuhnya kepada Sukan Komanwel (23 hingga 2 Ogos) dan Sukan Asia Aichi-Nagoya (19 September-4 Oktober) sebelum memikirkan perancangan masa depan, termasuk kemungkinan bertanding di Kejohanan Dunia di Shanghai (14-18 Oktober) serta di Olimpik LA 2028.
“Musim ini adalah penampilan Piala Dunia terakhir dalam karier saya. Selepas ini saya hanya mahu fokus kepada Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Mungkin selepas itu saya boleh sertai Kejohanan Dunia di Shanghai kerana ia berlangsung dua minggu kemudian.
“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, tetapi kita lalui langkah demi langkah. Saya bukan lagi pelumba muda. Mengenai penampilan Olimpik keenam saya di LA 2028? Saya perlu minta izin isteri dahulu!” selorohnya.














