fbpx
DEMI video muzik IDLYA (I Don’t Love You Anymore), Misha sanggup menempuh penerbangan jauh dan menjalani penggambaran di sebuah kawasan pergunungan salji di China sekitar Januari lalu. – SHIDDIQIEN ZON

22 minit redah suhu beku, Misha buat kerja gila

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REDAH salji pada suhu -20 darjah celcius demi sebuah lagu!  Sejuk hingga ke tulang hitam demi IDLYA – Misha Omar

Berbunyi seperti kerja gila, namun itu pengakuan yang terluncur dari bibir penyanyi Misha Omar tatkala mengimbas momen pembikinan video muzik (MV) lagu baharunya, IDLYA (I Don’t Love You Anymore) di sebuah kawasan pergunungan di China sekitar Januari lalu.

Sebagai individu yang tidak suka menaiki pesawat, idea dilontarkan pasukannya untuk ke lokasi sejuk membeku tersebut ditambah pula perjalanan panjang awalnya ditolak mentah-mentah.

Begitupun, selepas duduk semeja selain meneliti setiap perincian, ada perkara yang membuka matanya untuk berani keluar dari zon selesa, sekali gus menyahut cabaran IDLA.

Bangkang

“Saya orangnya tak suka ‘terbang’, lebih-lebih lagi untuk tempoh lama. Apabila idea buat MV di luar negara dikemukakan, saya seorang saja yang bangkang.

“Cuma kadangkala, hidup ini bukan tentang apa yang kita mahu, tetapi kita kena berani cuba walaupun bukan pilihan pertama.

“Dalam mesyuarat itu, saya seorang saja yang membangkang. Saya cakap, buat di Kuala Lumpur saja, senang dan selesa,” katanya membuka cerita.

Misha atau nama sebenarnya Samihah @Aisah Omar, 44, berkata, bagai dijangka berada pada suhu beku dengan mengenakan gaun hanya dilapisi pakaian panas memberi cabaran tersendiri.

Begitupun, sokongan serta kasih sayang rombongan diketuai Chuan Looi menggandakan semangat untuk bertahan seterusnya memberikan kualiti kerja terbaik.

“Penerbangan ke lokasi penggambaran mengambil masa sehari kerana perlu transit menukar pesawat lain untuk ke Sayram Lake berhampiran sempadan China-Kazakhstan.

“Hari pertama penggambaran, kami berdepan ribut salji dan angin kencang sehingga terpaksa menamatkan sesi lebih awal sebab dron tidak dapat diterbangkan.

“Ada babak yang perlukan rakaman sehingga 22 minit dalam suhu beku, saya perlu berjalan sendirian bagi mengelakkan kesan tapak kaki orang lain dalam salji. Sangat mencabar,” ujarnya.

LAGU baharu Misha, IDLYA merupakan ciptaan komposer tersohor Indonesia, Melly Goeslaw dengan sentuhan Tohpati sebagai penerbit.

Tambah penyanyi yang lebih dua dekad dalam industri itu, tekanan udara serta cuaca sejuk ekstrem ketika penggambaran dilakukan di kawasan tinggi turut mengganggu pernafasan.

“Syukur sangat sebab dapat lakukan semua rakaman. Ada satu ‘shot’ pengarah pesan jangan buat pergerakan laju sebab susah nak bernafas.

“Tetapi selepas itu pengarah suruh saya berlari dengan anak-anak pula. Pelik juga. Dalam keadaan sejuk hingga ke tulang hitam, saya kena pastikan mimik wajah tenang tanpa tunjuk sedang menahan kesejukan.

“Suruh baring, saya baring. Suruh lari, saya lari. Saya tak fikir panjang. Saya buat satu demi satu dengan tekun. Paling penting dapat sempurnakan keseluruhan babak ikut jadual,” katanya tentang penghasilan MV IDLA, sebuah lagu ciptaan komposer tersohor Indonesia, Melly Goeslaw itu.

Begitupun akuinya, dugaan dilalui tidak sebesar pengorbanan peminat yang digelar ‘kawan Kak Mitch, untuk setiap sokongan yang diberikan kepadanya sejak dari zaman budak hingusan sehingga ke hari ini.

“Setakat tahan sejuk untuk muzik video ini tidak terbanding dengan kesanggupan kawan-kawan Kak Mitch beli tiket konsert, naik pengangkutan awam, berbelanja dan luangkan masa datang bagi sokongan.

“Mereka datang daripada pelbagai ‘keluarga’ peminat, tapi duduk bersama secara harmoni untuk saya. Itu sesuatu yang sangat menyentuh hati

“Saya juga hargai setiap doa, mesej serta komen positif. Kadang-kadang apabila saya berada di titik terendah, saya ingat balik sokongan mereka.
Itu yang buat saya kembali kuat,” ungkapnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI