PETALING JAYA – Melihat trend penggunaan kata ganti nama diri kau, aku dan ‘korang’ dalam radio, penyampai radio Kieran mengakui kurang selesa dengan gaya penyampaian sedemikian.
Dianggap tidak manis didengar audiens, Kieran atau nama asalnya Maskiran Jakiran, 51, berkongsi pengalaman pernah menegur penggunaan perkataan tersebut tetapi tidak diterima.
“Nak dijadikan cerita fasal isu ini saya pernah tegur dulu dalam Facebook kalau tak silap (masa itu saya berhenti sepenuh masa radio).
“Tapi ada balasan daripada penyampai yang masih aktif bertugas katanya itu ‘style’ (gaya) lama (mungkin sebab dia kelakar).
“Saya jadi pendengar pun tak berapa gemar dengan penggunaan perkataan ‘aku, kau, korang’. Tak seronok.
“Bila penyampai berborak di konti tak kisahlah berdua, bertiga atau lebih jangan lupa kamu berborak untuk pendengar sebenarnya,” katanya dalam Threads.
Kongsinya lagi, sewaktu awal penglibatan dalam bidang penyiaran, peraturan penggunaan bahasa sangat ditititberatkan ketika itu.
“Ketika saya mula sertai industri radio pada 1999, memang kami tidak dibenarkan guna perkataan tersebut ketika ke udara (waktu itu saya sebagai ground crew).
“Kemudian bila dah jadi penyampai radio (2003) sama sahaja.
“Tak boleh guna juga (aku, kau) terutamanya apabila berborak dengan pendengar,” katanya lagi.
Tambah Kieran, sepanjang kerjayanya di beberapa stesen radio sebelum ini, dia dan rakan setugas sentiasa menjaga ketika berkomunikasi bagi menghormati privasi dan keselesaan pendengar.
“Sepanjang saya ke udara di beberapa stesen radio sentiasa ada partner (rakan kerja).
“Antara kami pun tak ada guna aku, kau, korang (mungkin ada sesekali terlepas). Selalu guna bro, wak (panggilan AG) atau sebut nama terus,” ujarnya.
Sebelum ini, Kieran pernah menjadi penyampai di beberapa stesen radio tempatan antaranya Era FM dan Hot FM.
Selepas hampir 10 tahun meninggalkan dunia penyiaran, dia kembali ke udara sebagai penyampai di Kool 101 pada 2025. – KOSMO! ONLINE














