fbpx
Penunjuk perasaan berkumpul di hadapan White House untuk membantah perang dengan Iran di Washington, DC semalam. - AFP

Seminggu perang Iran, protes tercetus seluruh dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PARIS – Bendera-bendera pra revolusi Iran berkibar di bandar-bandar utama seluruh dunia semalam ketika penunjuk perasaan turun ke jalanan, seminggu selepas perang tercetus di Asia Barat.

Beberapa negara Eropah, Afrika dan Amerika menyaksikan demonstrasi, dengan sebahagiannya membantah rejim Iran, manakala yang lain menolak perang serta sebahagiannya menyokong bekas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Paris menyaksikan dua demonstrasi dilakukan, satu yang mengecam peperangan serta satu lagi menyokong anak lelaki bekas Shah Iran, Reza Pahlavi yang disebut-sebut akan mengetuai kerajaan peralihan.

Beratus-ratus peserta demonstrasi pro-Pahlavi turut berkumpul di Stockholm, Sweden, manakala jauh di utara negara itu, orang ramai mendesak agar serangan ke atas Iran dihentikan.

Tidak lama selepas waktu subuh di Britain, penunjuk perasaan anti perang berkumpul di pintu masuk pangkalan tentera udara di Fairford, sambil memegang papan tanda yang tertulis ‘Berhenti menyerang Iran’ dan ‘Keamanan’.

Di luar konsulat AS di Bandar Raya Mexico, penunjuk perasaan membawa sepanduk gambar Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dengan tapak tangan berlumuran darah di atas perkataan ‘Pembunuhan’.

Di AS, penunjuk perasaan membawa bendera Iran, Lubnan dan Palestin serta papan tanda ‘Iran bukan musuh kami’ dan ‘Tiada perang ke atas Iran’ di pusat bandar Detroit, Michigan.

Turut menyaksikan demonstrasi di AS adalah di Washington D.C serta Boston, Massachusetts, selain di Cyprus dan Amsterdam, Belanda.

Di Afrika Selatan, berpuluh-puluh orang berkumpul di hadapan konsulat AS di Johannesburg sambil memegang gambar Khamenei, bendera Iran dan papan tanda yang mengecam Israel.

Penunjuk perasaan turut membawa gambar Khamenei dan mengecam perang di tengah ibu kota Tunisia, Tunis. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI