SHAH ALAM – Seramai 19,505 mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) Sabah menerima manfaat program Bantuan Graduan Rindu Sabah Subsidi Tiket Penerbangan (GRS/Subfly), tahun lalu.
Bantuan subsidi tiket penerbangan sebanyak RM600 itu disalurkan kepada pelajar yang menuntut di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, inisiatif GRS/Subfly diperkenalkan kerajaan Sabah pada 2024 selepas mahasiswa menyuarakan isu kos tiket penerbangan yang tinggi untuk pulang ke kampung halaman, khususnya menjelang musim perayaan.
“Tahun lalu, bantuan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan itu telah disalurkan kepada mahasiswa dengan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM11.7 juta.
“Menerusi sokongan kerajaan Persekutuan, kita menyasarkan seramai 35,000 mahasiswa akan menerima manfaat GRS/SUBFLY tahun ini,” katanya pada majlis Berbuka Puasa Mahasiswa Semenanjung Bersama Ketua Menteri Sabah di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, petang ini.
Armizan yang mewakili Ketua Menteri Sabah, kerajaan negeri turut memperkenalkan inisiatif Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (Sentosa) bermula tahun lalu.
“Inisiatif bantuan one-off RM300 itu subsidi pengangkutan bertujuan meringankan beban kewangan mahasiswa untuk pulang sewaktu musim perayaan. Seramai 22,649 pelajar menerima manfaat itu dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM6.79 juta,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














