KUANTAN – Kualiti pendidikan yang baik serta akses percuma antara pelbagai faktor yang menyaksikan prasekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menjadi rebutan dan pilihan utama ibu bapa di negara ini.
Permohonan kemasukan ke pra-sekolah KPM dibuka secara dalam talian bermula pada 2 Mac hingga 31 Mei 2026 kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak warganegara Malaysia.
Ia dibuka untuk kanak-kanak yang lahir pada 2 Januari 2021 hingga 31 Disember 2023.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sambutan memberangsangkan daripada ibu bapa jelas dilihat apabila lebih 120,000 kanak-kanak telah mendaftar untuk kemasukan prasekolah 2027.
“Kesemua ini menunjukkan perkembangan yang sangat positif berkaitan perkembangan pendidikan negara dan saya percaya ibu bapa juga mendukung hasrat serta aspirasi KPM.
“Saya ucapkan terima kasih, kita mahu melakukan terbaik untuk negara,” katanya pada Program Jaulah Ramadan KPM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Hajjah Kalsom, Bandar Damansara, di sini baru-baru ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Datuk Amzan Abd. Malek dan Pengarah Pendidikan Pahang, Ahmad Zamri Md Isa.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, setakat 4 Mac lalu, KPM telah menerima sebanyak 121,569 permohonan terdiri daripada 61,430 kanak-kanak yang lahir pada tahun 2021; 52,189 kanak-kanak yang lahir pada tahun 2022; dan 7,949 kanak-kanak yang lahir pada tahun 2023.
Jelasnya, KPM memberi keutamaan kepada kanak-kanak berusia lima dan empat tahun daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) serta berada di luar bandar sebagai langkah persediaan sebelum memasuki pendidikan formal Tahun Satu.
Beliau menambah, penggunaan tenaga pengajar yang berkelayakan dan terlatih, serta prasarana dan kemudahan sekolah yang lengkap turut membuatkan ramai ibu bapa memilih prasekolah KPM.
“Selain itu, dengan mengikuti prasekolah KPM, semua murid mendapat faedah Bantuan Makanan Prasekolah (BMP),” katanya.

Berhubung ketersediaan kelas, Fadhlina memberitahu KPM sedang giat melaksanakan peluasan kelas prasekolah di seluruh negara bagi menampung permintaan yang menggalakkan.
Katanya, setakat Mac tahun ini sahaja, sebanyak 350 kelas prasekolah baharu telah dibuka.
“Secara keseluruhan, pada waktu ini terdapat 10,514 kelas prasekolah di 6,469 institusi KPM.
“Kapasiti keseluruhan prasekolah adalah sebanyak 256,894 tempat dengan enrolmen semasa sebanyak 217,041 murid,” ujarnya.
Dalam perkembangan berlainan, Fadhlina menegaskan Program Tekad Reformasi Pendidikan (TEKAD) yang dilaksanakan KPM amat penting dalam menyampaikan maklumat berhubung Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 serta hala tuju pendidikan negara.
Jelasnya, program itu amat signifikan sebagai satu gerakan bersepadu bagi memastikan aspirasi dan sasaran RPM dapat difahami serta didokong bersama oleh semua pihak.














