ALOR SETAR – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) menyalurkan sumbangan sebanyak RM650,000 untuk melaksanakan pelbagai inisiatif menerusi program Santuni Madani di Kampung Telok Kandis, di sini dan kawasan sekitarnya.
Menurut Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rick Ramli, ia sebagai usaha untuk memperkukuh pembangunan ekonomi tempatan, memperluaskan akses pendidikan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Program Santuni Madani merupakan inisiatif khas yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dilaksanakan oleh semua ketua jabatan serta agensi kerajaan bagi memacu pertumbuhan inklusif serta memperluas manfaat ekonomi kepada komuniti akar umbi.
“Selain Kampung Telok Kandis, PNB turut memperuntukkan RM670,000 bagi pelaksanaan program sama di Kampung Merlimau Pantai, Melaka menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi kedua-dua kampung sebanyak RM1.32 juta,” katanya kepada pemberita pada Majlis Santuni Ramadan dan Iftar Perdana di Kampung Telok Kandis, di sini malam tadi.
Pada majlis itu, Rick turut mengagihkan sumbangan tunai dan barangan makanan asas kepada 60 penerima asnaf selain menyumbang katil perubatan serta kerusi roda kepada keluarga yang memerlukan sokongan kesihatan.
Katanya, melalui program sama, seramai 13 usahawan Kampung Telok Kandis menerima bimbingan keusahawanan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) yang meliputi pengukuhan asas perniagaan, pendigitalan operasi serta peluasan akses pasaran.
Dalam pada itu, beliau berkata, PNB turut membiayai pembinaan sebuah dewan serbaguna terbuka, menaik taraf tabika Kemas serta kerja baik pulih pintu gerbang kampung bagi meningkatkan kemudahan awam dan memperkukuh identiti komuniti setempat.
“Pelaksanaan program Santuni Madani di Kampung Telok Kandis mencerminkan pendekatan menyeluruh PNB dalam memastikan pelaburan syarikat berkaitan kerajaan diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat,” ujarnya.
Katanya, dalam bidang pendidikan, seramai 10 pelajar dari daerah Kota Setar dan Sik menerima Biasiswa TVET PNB bagi melanjutkan pengajian diploma dalam bidang perakaunan, kejuruteraan dan perniagaan.
“Sekolah Kebangsaan Alor Mengkudu dipilih sebagai Sekolah Angkat Malaysia Madani-PNB dengan menerima sumbangan televisyen pintar serta bantuan kepada murid asnaf bagi menyokong pembelajaran digital dan pembangunan pelajar secara holistik,” ujarnya.
Sementara itu, usahawan terlibat, Mohd. Redzuan Zainal, 43, berkata, program tersebut memberi keyakinan kepadanya untuk mengembangkan perniagaan katering dan makanan sejuk beku yang diusahakan.
“Peralatan dan sesi bimbingan yang diberikan membantu saya memahami dengan lebih baik cara mengurus perniagaan serta meneroka peluang baharu. Saya amat berterima kasih kerana organisasi seperti PNB kerana terus menyokong usahawan kecil dalam komuniti kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE














