KLUANG – Seorang lelaki yang memandu sebuah lori dalam pengaruh dadah jenis methamphetamin (meth) ditahan polis selepas dikesan memandu secara merbahaya dalam kejadian di kilometer 15.5 hinggan kilometer 16 di Jalan Simpang Renggam ke Renggam pada 6 Mac.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian dikesan dilakukan lelaki berusia 35 tahun yang memandu sebuah lori jenis Hino melalui satu rakaman video berdurasi 35 saat.
Jelasnya, melalui rakaman itu, lori dipandu lelaki berkenaan telah cuba memotong sebuah kereta di garisan berkembar walaupun terdapat kenderaan yang datang dari arah bertentangan dan hampir menyebabkan kemalangan.
Katanya, bertindak melalui maklumat dari rakaman itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pehabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah berjaya mengesan dan menahan lelaki berkenaan pada 7 Mac (semalam) untuk siasatan lanjut.
“Ujian saringan air kencing telah mendapati tangkapan positif dadah jenis methamphetamin dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Kes juga akan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan diatas jalan raya secara melulu yang boleh membahayakan kepada pengguna jalan raya lain,”katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menyalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














