JERLUN – Paras air empangan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dilaporkan menyusut akibat kemarau dan dijangka memberi kesan kepada hasil pengeluaran padi di Kedah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, salah satu empangan iaitu Empangan Pedu mencatatkan paras kira-kira 40 peratus.
“Namun begitu, ada beberapa kawasan sudah mula hujan tetapi jika tidak hujan ia tidak akan memberi kesan besar kepada paras empangan. Kita berharap berlaku hujan di kawasan hulu dalam tempoh seminggu dua lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) dan perjumpaan bersama pemimpin peladang di Kawasan Muda di sini malam tadi yang turut dihadiri Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Berdasarkan kedudukan air di tiga empangan MADA yang direkodkan hari ini, Empangan Pedu berada pada paras 42.23 peratus, Empangan Muda (11.12 peratus) dan Empangan Ahning (55.9 peratus) dengan jumlah keseluruhan takungan 41.54 peratus.
Terdahulu, dalam ucapannya, Mohamad berkata, dalam aspek pengeluaran padi, MADA terus mempamerkan prestasi yang membanggakan apabila mencatat purata hasil sebanyak 5.09 tan sehektar pada tahun lalu.
“MADA pada tahun ini menyasarkan purata hasil padi sebanyak 6.1 tan sehektar. Itu sasaran MADA, namun ia tetap bergantung kepada keadaan cuaca yang mana berkemungkinan akan dibuat kaedah penanaman tabur jika keadaan masih tiada hujan,” katanya.
Seiring dengan sasaran tersebut, kata beliau, kementerian sangat menekankan usaha untuk meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) beras negara daripada 52.6 peratus bagi Malaysia dan 58.3 peratus bagi Semenanjung Malaysia kepada 70 peratus menjelang tahun 2030. – KOSMO! ONLINE














