SEPANG – Seorang lelaki warga asing ditemui maut dalam keadaan berlumuran darah di hadapan lobi sebuah kondominium di Cyberjaya, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis kira-kira pukul 2 petang selepas orang awam membuat panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Cyberjaya yang bergegas ke lokasi mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap dengan tubuh badan berlumuran darah di lantai lobi.
“Siasatan awal mendapati lelaki berusia 39 tahun itu dipercayai terjatuh dari tingkat lima unit kediaman yang didudukinya di bangunan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, siasatan juga mendapati, mangsa merupakan seorang pelajar di sebuah universiti tempatan dan pemeriksaan lanjut oleh pasukan forensik di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah dikesan. – KOSMO! ONLINE














