fbpx
MOHD FAIZAL (tengah) diiringi anggota polis untuk proses pendakwaan kes menyamar anggota polis, cabul dan samun di pekarangan Mahkamah Sungai Petani.

Lelaki menyamar polis, cabul wanita dipenjara, sebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki dihukum penjara lapan tahun tujuh bulan serta dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan termasuk menyamar polis, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Faizal Sinorcho, 40, dijatuhi hukuman tersebut setelah membuat pengakuan bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di tiga mahkamah berasingan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyamar anggota polis dengan memakai vest berlogo polis untuk memperdaya seorang gadis.

Kejadian itu didakwa dilakukan tertuduh di dalam sebuah kereta semasa dalam perjalanan dari Gerik, Perak ke Sungai Petani antara pukul 5.50 petang hingga 11.30 malam, 8 Februari lalu.

Pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Mohd. Faizal juga dituduh mencabul mangsa sama dengan kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam kereta pada hari sama ketika mangsa menyedari telah berada di Sungai Petani dengan pendakwaan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Tertuduh dihukum penjara selama dua bulan bagi kesalahan menyamar polis, manakala bagi tuduhan cabul dikenakan hukuman penjara selama dua tahun.

Sementara itu, di mahkamah berasingan di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri, tertuduh didakwa menyamar anggota polis dengan memakai vest berlogo polis dan memegang gari di hadapan seorang wanita berlainan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan pasar raya di sini kira-kira pukul 12.45 tengah malam, 9 Februari lalu dengan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, dia dikenakan hukuman penjara selama lima bulan.

Seterusnya di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa melakukan samun terhadap harta milik wanita terbabit iaitu sebuah motosikal skuter jenis Honda Vario yang dipandu seorang lelaki di Bandar Puteri Jaya pada hari sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 392 itu dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat yang kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun dan dua sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Sufiya Kamarulzaman, Nur Hazwani Md. Noor serta J.Banusha, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI