fbpx
MOHAMAD ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan STTP dan Perjumpaan bersama Pemimpin Peladang di Kawasan Muda di Jerlun, malam tadi. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

Konflik Asia Barat: Kos import bahan makanan berisiko naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERLUN – Kos pengimportan bahan makanan mungkin meningkat, sekali gus menjejaskan harga barangan di pasaran sekiranya ketegangan di Asia Barat berlarutan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara tersebut dibimbangi berlaku akibat peningkatan kos pengangkutan bagi pengimportan susulan kenaikan harga minyak dunia.

“Secara umumnya bekalan makanan kita tidak berapa terjejas, cuma kita bimbang kalau berlarutan kenaikan harga minyak, ia boleh mengakibatkan (kos) pengimportan dan pengangkutan barangan makanan kita juga meningkat tetapi banyak mana (kesan) kita tak boleh jawab secara semberono.

“Pegawai kita dari dua jabatan (Bahagian Antarabangsa dan Sekuriti Makanan) sedang membuat persiapan untuk memberi jawapan balas (laporan kesan konflik Asia Barat kepada sekuriti makanan negara) dalam tempoh seminggu akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) dan Perjumpaan bersama Pemimpin Peladang di Kawasan Muda di sini malam tadi yang turut dihadiri
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Sementara itu, kata Mohamad, bekalan makanan seperti ayam, daging dan kelapa masih mencukupi ketika ini termasuk menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Jelasnya, Malaysia tidak terlalu bergantung kepada negara di Asia Barat bagi pengimportan makanan, sebaliknya kebanyakannya diperoleh daripada negara ASEAN seperti Vietnam dan Thailand.

Selain itu, katanya, negara turut mendapatkan bekalan makanan daripada beberapa negara lain termasuk China, Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, India dan Pakistan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI