KUALA LUMPUR – Sering menjadi mangsa kecaman setiap kali drama terbitan syarikatnya ditayangkan di televisyen, penerbit dan pengarah terkenal, Erma Fatima memilih untuk tidak membaca komen netizen dalam media sosial.
Kata Erma atau nama lengkapnya Fatimah Rahmad Ali, 57, pendekatan itu diambil bagi mengelakkan dirinya hilang pertimbangan sehingga mengeluarkan kata-kata yang boleh mengguris hati peminat.
“Bila drama saya keluar, mesti ada kenduri kecaman termasuk Walid, Bidaah, Keluarga Itu, Perempuan Itu, Lelaki Itu dan Jangan Panggil Aku Gus. Jadi, sekarang memang bulan kecaman dan saya tak akan buka media sosial.
“Saya juga tidak mahu merosakkan hati. Kalau baca komen saya tak boleh kawal marah, jawab dalam keadaan geram dan jadi biadab.
“Lebih baik saya tidak baca komen, tak peduli kerana saya ada matlamat dan misi menghasilkan setiap naskhah. Ada mesej yang mahu disampaikan kepada maysarakat, ” katanya ketika ditemui pada majlis Viu Together Gather dan Iftar yang berlangsung di sini, baru-baru ini.
Mengulas sikap segelintir pihak yang berlagak serba tahu, pelakon siri popular Mok Cun itu mempersoalkan kredibiliti mereka yang terlalu lantang menentukan hala tuju babak dalam drama.
“Yang komen itu adalah dia penulis skrip dan pengarah? Dia pula suka-suka nak menentukan babak apa yang patut ada atau tidak ada.
“Kalau nak cerita babak yang tak patut ada dalam drama, banyak juga dalam drama terbitan produksi lain dan bukan dalam drama Walid sahaja.
“Asyik nak cari yang buruk, nak jadi ‘mata lalat’, memang anda akan jumpalah tapi cuba ambil dari sudut positif,” katanya lagi.
Meskipun dihujani kritikan, Erma tetap teguh dengan pendiriannya untuk terus berkarya mengikut mesej yang ingin disampaikan tanpa perlu mempedulikan kata-kata orang.
“Kecaman itu makanan rutin orang seni, buat baik pun kena kecam, buat jahat pun kena juga. Buat cerita bagus pun kena kecam, kalau tak bagus pun kena hentam.
“Bagi saya kalau kalau benda yang baik dan kecaman itu boleh memberi manfaat, saya akan terima dan perbaiki diri.
“Namun, jika kecaman itu sekadar untuk cetuskan kontroversi dan mereka sengaja bersikap sedemikian, saya tak baca pun,” ujarnya.
Sebelum ini, Erma Erma sering menjadi sasaran kecaman nerizen berikutan keberaniannya menerbitkan karya mengetengahkan isu sensitif dan realiti kehidupan yang dianggap tabu segelintir pihak.
Terbaharu dia dikecam menerusi drama Walid apabila paparan babak berkemban dalam naskhah tersebut dianggap tidak bersesuaian untuk tayangan, terutamanya pada bulan Ramadan. – KOSMO! ONLINE














