PETALING JAYA – Debaran 413,372 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bakal berakhir apabila Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan tarikh semakan keputusan peperiksaan itu esok.
Ini kerana, ketika ini kebanyakan calon dan ibu bapa tidak pasti bila keputusan itu akan dikeluarkan sama ada sebelum atau selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Tinjauan Kosmo! di beberapa platform media sosial mendapati ibu bapa juga meluahkan rasa lega apabila KPM akan mengumumkan tarikh keputusan peperiksaan itu esok.
Bagaimanapun, mereka berharap agar tarikh pengumuman itu adalah sebelum hari raya supaya mereka lebih tenang membuat persiapan raya.
“Dapat result (keputusan) awal lagi bagus. Boleh buat persiapan awal untuk perjalanan seterusnya anak-anak,” kata Norhayati Mat Ripin.
Turut berkongsi perasaan berdebar adalah seorang lagi ibu bapa dikenali sebagai Izdham Likas.
“Berdebar tunggu keputusan anak, sebagai ibu, apa pun keputusan yang diumumkan nanti terima dengan hati yang tenang. Moga 206 calon Sekolah Menengah Kebangsaan Madai mendapat keputusan yang baik,” doanya.
Menurut laporan media sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Mohd. Azam Ahmad berkata, tarikh semakan keputusan tersebut akan dimaklumkan menerusi satu kenyataan rasmi oleh KPM esok.
Jelas Mohd. Azam pengumuman tarikh itu juga berdasarkan nasihat daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia.
Beliau menyatakan, keputusan itu dibuat memandangkan ramai ibu bapa dan calon ingin mengetahui bila keputusan akan diumumkan.
“Sebenarnya semuanya sudah sedia, namun kita mengambil kira pandangan daripada semua pihak sebelum membuat pengumuman rasmi,” katanya sebelum ini.














