PETALING JAYA – Tekanan emosi doktor pelatih ketika menjalani latihan di hospital kerajaan menimbulkan kebimbangan dan dilihat sebagai isyarat supaya sistem sokongan terhadap golongan itu dinilai semula.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, isu tekanan kerja dalam kalangan doktor pelatih tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil kerana mereka sering berdepan beban tugas tinggi serta tempoh kerja panjang.
Menurut beliau, tekanan dalam sistem latihan, budaya kerja yang keras dan hubungan hierarki dalam latihan perubatan turut memberi kesan kepada kesihatan mental doktor pelatih.
“Ramai doktor pelatih tidak mempunyai ruang selamat untuk meluahkan tekanan atau mendapatkan bantuan psikologi secara profesional.
“Situasi ini boleh memberi kesan serius jika tidak ditangani dengan pendekatan lebih sistematik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam cadangan yang dikemukakan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagi menangani isu tekanan emosi dalam kalangan doktor pelatih.
Katanya, kekurangan tenaga doktor di hospital kerajaan turut menyebabkan beban kerja meningkat apabila tugas terpaksa ditanggung oleh doktor sedia ada termasuk doktor pelatih.
“Berdasarkan data Kementerian Kesihatan, negara mempunyai kira-kira 75,000 hingga 80,000 doktor berdaftar dengan lebih 60 peratus daripadanya berkhidmat di sektor awam.
“Setiap tahun sekitar 4,000 hingga 5,000 doktor pelatih ditempatkan di hospital kerajaan bagi menjalani latihan housemanship,” katanya.
Mohd Azmi berkata, kerajaan juga perlu melihat isu itu secara jangka panjang termasuk menambah pengambilan doktor, memperbaiki pengagihan tenaga kerja di hospital serta meningkatkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan.
Media sebelum ini melaporkan seorang doktor pelatih ditemukan maut di asrama Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai pada Jumaat. – KOSMO! ONLINE














