KLUANG – Bimbang dengan keselamatan diri menyebabkan seorang wanita terpaksa melarikan diri dan meninggalkan kenderaan dipandunya selepas melanggar sebuah motosikal sehingga menyebabkan dua orang mangsa maut dalam kejadian di kilometer 6, Jalan Kluang-Teck Wah Heng dekat Mengkibol disini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, S.Selvalatha, 36, ditahan ketika hadir membuat laporan kemalangan di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
Jelasnya, hasil siasatan awal, wanita berkenaan yang bekerja di Singapura dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Taman Melodi di Kluang dan memandu secara berseorangan menaiki kereta Proton Saga.
“Ujian air kencing mendapati tangkapan tidak terpengaruh dengan sebarang jenis dadah dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Sebelum itu, polis menerima maklumat berkaitan satu kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu kereta Proton Saga dan motosikal Yamaha Y15ZR dinaiki dua orang lelaki yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Menurut Bahrin, penunggang motosikal, K.Palany,54, dan pemboncengnya M.Thanagaran, 36, dipercayai dalam perjalanan dari arah Kluang menuju ke arah jalan Teck Wah Heng manakala kereta Proton Saga datang dari arah bertentangan. – KOSMO!ONLINE














