PETALING JAYA – Satu video tular di media sosial memaparkan seorang individu berkongsi cara menggunakan isi ikan bandaraya sebagai sumber makanan untuk menjadikan kucing peliharaannya lebih gemuk dan sihat.
Menerusi satu hantaran di laman Threads, @Toktuahchannelhaziq mendedahkan, kucing peliharaannya kini mencecah berat sehingga enam kilogram (kg) hasil daripada diet yang menggunakan isi ikan bandaraya.
“Saya memang bagi makan ikan ini dekat saya punya si bulus sehinga dia gemuk, berat dia sekarang ni dekat enam kg,” ujarnya.
Menurutnya, bahagian isi ikan bandaraya yang telah difiletkan mempunyai isi tebal dan kandungan protein tinggi.
“Kalau boleh tengok urat-urat dia yang merah tu, kandungan protein dia sangat tinggi, lebih kurang 25 peratus. Kucing memang suka dan boleh bantu gemukkan,” katanya.
Selain kucing, dia turut memberi ikan tersebut kepada musang pandan peliharaannya sebagai sumber protein tambahan selain buah-buahan yang menjadi diet utama haiwan itu.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan oleh netizen terhadap perkongsian tersebut.
“Nampaknya kita dah jumpa cara untuk mengurangkan populasi ikan ini. Harap syarikat pengeluar makanan haiwan boleh laksanakan segera,” kata @Danialfarhanx.
“Pemilik kucing dah boleh pergi tangkap ikan ini di sungai. Pasti boleh membantu mengawal populasi ikan bandaraya,” ujar @Farhanibakri.- KOSMO! ONLINE














