KUALA LUMPUR – Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menambah koleksi pingat pada Siri Piala Dunia Berbasikal Trek di Perth, Australia apabila meraih pingat gangsa dalam acara pecut individu.
Kejayaan itu diraih selepas pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman itu mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan pelumba Israel, Mikhail Yakovlev dengan keputusan 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Meskipun Yakovlev mempunyai kelebihan fizikal yang jauh lebih tinggi serta mencatatkan masa kedua terpantas pada sesi kelayakan (9.515 saat), Azizulhasni yang menduduki tempat keempat kelayakan (9.702 saat) tidak gentar apabila mempamerkan taktikal luar biasa untuk mencipta kemenangan.
Terdahulu, hasrat Azizulhasni untuk memburu pingat emas disekat Matthew Richardson apabila tewas 0-2 di peringkat separuh akhir.
Richardson kemudiannya meneruskan momentum cemerlang untuk muncul juara selepas menewaskan Leigh Hoffman 2-0 dalam aksi final.
Semalam, pelumba kelahiran Terengganu itu mencipta kejutan apabila merangkul pingat emas acara keirin selepas mengatasi Matthew Richardson.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa kem wanita negara apabila cabaran Nur Alyssa Farid dan Izzah Izzati Asri dalam acara keirin wanita berakhir lebih awal.
Kedua-dua pelumba muda negara itu gagal melepasi pusingan pertama repechage, sekali gus menutup peluang mereka untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan tersebut. -KOSMO! ONLINE














