SEBERANG PERAI – Seorang gelandangan warga emas diselamatkan orang awam selepas dua hari dia terjatuh dalam perigi di Jalan Telok Air Tawar, Butterworth di sini, hari ini.
Mangsa lelaki berusia 63 tahun itu dikatakan terjatuh sedalam lima meter dipercayai ketika mahu mandi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.29 petang tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth diketuai Komander Operasi Penguasa Bomba Kanan l Mohd. Nasir Idris.
“Mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian dan mangsa mengalami kecederaan ringan dan keletihan.
“Mangsa bernasib baik pada waktu itu kerana air perigi berada pada paras dada,” katanya di sini, malam tadi.
Jelasnya, mangsa telah diberi rawatan awal dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menerima rawatan selanjutnya.
Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.33.petang tadi. KOSMO! ONLINE














