BANGKOK – Seorang wanita Thai dikritik netizen selepas dia dirakam duduk di tengah jalan yang sibuk di Chon Buri dan membaling kasut berikutan pertengkaran dengan teman lelakinya, lapor laman berita Thaiger semalam.
Seorang pemandu merakam kejadian itu dan memuat naik klip video tersebut di media sosial. Video itu kemudiannya dikongsikan secara meluas oleh netizen dan saluran berita.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 4 Mac lalu.
Dalam rakamannya, wanita memakai baju T putih dan seluar pendek itu berdiri di tengah persimpangan sebelum tiba-tiba duduk di atas jalan raya.
Dia kemudian menghentak dan menggoyangkan kaki sehingga kasutnya tercabut dan membalingnya ke arah yang berbeza. Salah satu kasut itu nyaris mengenai seorang penunggang motosikal yang lalu lalang.
Seorang lelaki dipercayai kekasihnya kemudian mendekati dan cuba menenangkan wanita itu dan meminta dia beredar dari jalan raya.
Wanita itu kekal marah dan memukul lengan teman lelakinya. Klip video berakhir dengan lelaki itu berjaya memujuk teman wanitanya. – AGENSI














