PETALING JAYA – Pernah membesar di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), pelakon Riena Diana menyelar kenyataan segelintir individu yang suka menghina dan memperlekehkan taraf hidup serta kehidupan penghuni di tempat tersebut.
Ujar Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 29, kehidupan di PPR bukan sesuatu memalukan, malah menyimpan banyak kenangan manis sepanjang tempoh membesar bersama keluarga.
“Saya okey sahaja tinggal di PPR Air Panas, Setapak dari usia 18 hingga 20 tahun. Saya bangga dengan ayah menjaga kami adik-beradik serta nenek ketika itu.
“Setiap hari saya pulang kerja lewat kerana bekerja sebagai jurujual di kedai mainan. Kereta pula perlu parkir jauh. Alhamdulillah, semuanya selamat dan saya tidak pernah mengeluh.
“Mungkin selepas ini ada baiknya fikir dahulu sebelum berkata-kata. Tidak semua orang dikurniakan rezeki tinggal di tempat mewah. Itu bukan alasan untuk menghina kawasan orang lain,” katanya dalam Threads.
Kenyataan tersebut dibuat susulan satu hantaran tular dalam Threads apabila seorang individu mempersoalkan kehidupan penghuni PPR serta mendakwa kawasan tersebut tidak selesa diduduki.
Individu terbabit mendakwa persekitaran PPR dipenuhi anjing liar selain berbau busuk akibat sampah serta najis haiwan.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen tampil menyokong pendirian pelakon drama Kampung People itu selain menyifatkan kenyataan menghina kawasan PPR sebagai tidak sensitif.
“Bukan semua orang lahir terus hidup mewah. Ramai penghuni PPR bekerja keras besarkan keluarga.
“Tempat tinggal tidak menentukan nilai seseorang. Hormatlah kehidupan orang lain.
“Ramai juga berjaya bermula dari PPR. Jangan pandang rendah,” tulis beberapa netizen.
Namun ada juga yang berpendapat pandangan individu terbabit sangat ‘valid’ dan perlu diakui bahawa kebanyakan kawasan PPR adalah seperti didakwa meskipun fakta itu pahit ditelan. – KOSMO! ONLINE.














