fbpx
AZIZULHASNI Awang tampil cemerlang di Siri Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di Perth, Australia apabila meraih pingat emas dalam acara keirin.

Pecutan ‘wheelie’ Azizulhasni julang emas di Perth

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang membuktikan dia masih merupakan kuasa besar dunia selepas merangkul pingat emas acara keirin pada Siri Piala Dunia Berbasikal Trek di Perth, Australia, sebentar tadi.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu yang mendapat julukan The Pocket Rocketman itu mempamerkan kayuhan emasnya dengan menumpaskan pelumba pilihan Britain, Matthew Richardson di garisan penamat dan ditentukan menerusi photo finish yang cukup mendebarkan.

Biarpun bermula di belakang, Azizulhasni bijak menghidu peluang apabila mengekori rapat Richardson sebelum melakukan pecutan di selekoh terakhir untuk menang dengan perbezaan 0.002 saat.

Kemenangan itu disahkan selepas penelitian foto penamat dilakukan, sekali gus menyaksikan Azizulhasni melakukan aksi trademark ‘wheelie’ bagi meraikan kejayaan sulungnya di Perth Speed Dome Velodrome itu.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa dua pelumba muda wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri dan Nur Alyssa Mohd. Farid apabila perjuangan mereka dalam acara pecut individu terhenti di pusingan kedua (1/8).

Izzah terpaksa akur kepada kehebatan juara Olimpik dari New Zealand, Ellesse Andrews, manakala Alyssa pula disingkirkan oleh pelumba handalan China, Yuan Liying.

Meskipun terkandas awal dalam acara pecut, Izzah dan Alyssa tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan bertekad untuk bangkit menebus hampa dalam acara kegemaran mereka, keirin yang dijadualkan berlangsung esok. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN