fbpx
SKUAD negara sudah memberikan tentangan terbaik kepada Jepun yang sememangnya dalam kelas tersendiri. - FIH

Malaysian Tigress terlepas tiket Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IMPIAN skuad hoki wanita negara melangkah ke saingan Piala Dunia 2026 tidak kesampaian selepas tewas 0-4 kepada Jepun pada aksi ketiga Kumpulan B kempen kelayakan di Santiago, Chile, kelmarin.

Kekalahan itu menyaksikan anak buah Nasihin Nubli Ibrahim gagal menempatkan diri ke separuh akhir, sekali gus menutup peluang untuk merebut tiket ke pentas akhir Piala Dunia di Belgium dan Belanda, Ogos depan.

Pada aksi di Estadio Nacional itu, Malaysian Tigress sebenarnya berjaya mengekang asakan Jepun sepanjang separuh masa pertama apabila mempamerkan aksi berdisiplin tinggi terutama di bahagian pertahanan.

Bagaimanapun, momentum permainan berubah selepas rehat apabila Jepun mula menemui rentak dan membuka jaringan pertama menerusi Shiho Kobayakawa pada minit ke-39 sebelum menggandakan kelebihan enam minit kemudian.

Pasukan dari Asia Timur itu terus memanfaatkan beberapa kesilapan skuad negara apabila Hiroka Murayama menambah gol ketiga pada minit ke-48 sebelum Akari Nakagomi melengkapkan kemenangan 4-0 pada minit ke-55.

Nasihin mengakui barisan pemainnya beraksi baik pada awal permainan, namun tekanan tinggi pada separuh masa kedua menyebabkan beberapa kesilapan yang dihukum oleh Jepun.

“Pemain sebenarnya beraksi baik pada separuh masa pertama dan mereka sangat berdisiplin. Jepun agak sukar menembusi bahagian pertahanan kita ketika itu.

“Tekanan lebih tinggi menyebabkan beberapa pemain muda yang kurang pengalaman antarabangsa melakukan kesilapan dan memberi ruang kepada lawan meledak gol,” jelasnya.

Meskipun kecewa, Nasihin percaya Malaysian Tigress masih mampu bangkit dalam perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan, sambil menegaskan pasukan akan kembali lebih kuat untuk memburu kedudukan terbaik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN