RAUB – Dua beradik yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa serta tiga adik mereka dalam tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, di sini pada 26 Februari lalu menerima pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Ruby Adalia Balqis Mohd. Alawi, 19, dan adiknya Ahmad Balia Murqam, 15, layak menerima faedah tersebut selepas semakan mendapati arwah bapa mereka merupakan pencarum Perkeso.
“Kedua-dua waris turut menerima Faedah Pengurusan Jenazah RM3,000 secara sekali bayar yang disalurkan 27 Februari lalu. Selain itu, mereka juga akan menerima pencen penakat bulanan RM373.20 yang akan dikreditkan ke dalam akaun Ruby sebagai kakak sulung bagi membantu kelangsungan hidup mereka,” katanya ketika ditemui sempena program Ziarah Prihatin Perkeso di kediaman bapa saudara kedua-dua beradik itu di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, di sini semalam.
Menurut Mohammed Azman, semakan mendapati arwah bapa mereka, Mohd Alawi Muhammad pernah berkhidmat di sektor formal dan mencarum di bawah skim perlindungan Perkeso melalui 11 majikan sejak tahun 1990.
Katanya, walaupun caruman terakhir direkodkan pada September 2010, waris masih layak menerima faedah tersebut berdasarkan tempoh dan jumlah caruman yang dibuat.
“Sejurus tragedi ini berlaku pada 26 Februari lalu, Skuad Perkeso Prihatin terus turun padang menziarahi keluarga mangsa bagi membuat semakan serta mempercepatkan proses penyaluran faedah kepada waris,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua beradik itu juga akan didaftarkan sebagai ahli Program Prihatin Keluarga Angkat (Protek bagi memastikan kebajikan, pendidikan serta keperluan sosial mereka terus terpelihara.
“Ruby kini sedang melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Pahang dan Perkeso akan menyediakan sokongan pendidikan termasuk bantuan peralatan pembelajaran. Bagi adiknya Ahmad Balia yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dong pula, PERKESO akan menyalurkan bantuan kewangan bagi membeli keperluan persekolahan,” ujarnya.
Pada 27 Februari lalu, Kosmo! melaporkan, negara dikejutkan dengan tragedi kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong yang mengorbankan lima sekeluarga dan jenazah kesemua mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Gelugor, di sini pada tengah malam 27 Februari lalu. – KOSMO! ONLINE














