KELAB Sepanyol, Deportivo Alaves akan terus memberikan sokongan dan bantuan terhadap Facundo Garces yang kini terpaksa meneruskan hukuman penggantungan 12 bulan.
Sambil menghormati keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), Alaves tidak akan bertindak secara melulu dan kekal menyokong karier profesional Garces.
“Selaras dengan resolusi itu (keputusan CAS), hukuman terhad kepada pembabitan dalam perlawanan, jadi Facundo Garces akan boleh terus menjalani latihan dan mengembangkan aktiviti profesionalnya bersama kelab,” menurut kenyataan kelab.
Kelmarin, CAS mengekalkan hukuman penggantungan selama 12 bulan kepada tujuh pemain warisan Harimau Malaya seperti yang dibuat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini.
Bagaimanapun, larangan itu hanya terhad kepada perlawanan rasmi dan kelonggaran diberikan bagi membolehkan pemain-pemain berkenaan menjalani aktiviti bola sepak bersama kelab masing-masing.
Selain Garces, enam lagi pemain ialah Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Vitor Figueiredo, Gabriel Arrocha, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Menerusi kenyataan sama, CAS mengesahkan rayuan yang dikemukakan secara bersama oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ditolak dan keputusan FIFA untuk mengenakan denda CHF 350,000 kepada FAM kekal berkuat kuasa.














