SEBERANG PERAI – Sebanyak 37 kes pelbagai kesalahan dikesan hasil 3,825 pemeriksaan yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menerusi Ops Pantau 2026.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, antara kesalahan yang dikesan melibatkan kegagalan meletakkan tanda harga, penggunaan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan, tidak memiliki permit barang kawalan berjadual serta penjualan barangan menggunakan cap dagang tidak sah.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 18 kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP) diikuti enam kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 serta 11 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Selain itu, satu kes dikesan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan satu kes lagi di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. Sebanyak 25 kompaun dikeluarkan secara serta-merta manakala 12 kes lagi dibuka kertas siasatan untuk tindakan lanjut dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM420,154.90,” katanya selepas mengadakan tinjauan Bazar Ramadan Rahmah Bandar Bertam Putra di Kepal Batas, di sini hari ini.
Bagi negeri Pulau Pinang, sebanyak lima lokasi Bazar Ramadan Rahmah (BRR) dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan iaitu di Jalan Mahkamah Bayan Lepas, Bandar Bertam Putra, Masjid Daerah Seberang Perai Tengah di Bandar Perda, Bertam Melayu Air Itam serta Sungai Acheh. – KOSMO! ONLINE














