PETALING JAYA – “Walaupun dari luar penuh tatu, tapi hati saya tetap baik.”
Itu kenyataan pelakon Miller Khan yang mencuri perhatian netizen tatkala membuat perkongsian tentang arwah bapanya.
Miller atau nama sebenarnya Mohamad Suhaemi Ali Dad Khan, 39, berkongsi momen menziarahi pusara bapanya ketika pulang ke Kuala Lumpur baru-baru.
“Kalau ba (panggilan untuk bapa) masih ada, tahun ini genap 92 tahun. Saya pula dah nak 39. Saya harap ba bangga dengan saya. Walaupun dari luar penuh tatu, tapi hati saya tetap baik, insya-Allah.
“Saya harap ba melihat saya dari atas mengawasi saya dan membimbing setiap langkah saya setiap hari. Saya sentiasa doakan ba,” tulisnya.
Ramai netizen turut berkongsi pengalaman sama mereka dengan Miller. Menurut netizen, apa yang terzahir secara luaran tidak menggambarkan sifat dalaman seseorang.
Dalam hantaran yang sama, Miller turut berkongsi fotonya berbuka puasa bersama ibu dan adiknya, Isa Khan.
Miller berhijrah ke Indonesia sekitar tahun 2007 untuk memulakan kerjaya sebagai pelakon di sana.
Dia turut berkahwin dengan warganegara Indonesia, Farina Rebecca pada tahun 2021 dan sehingga kini masih aktif sebagai pelakon popular di sana. – KOSMO! ONLINE.














