PORT DICKSON – Orang ramai yang beriadah di tepi pantai Port Dickson Waterfront di sini dikejutkan dengan kehadiran seekor buaya tembaga pagi tadi.
Menerusi satu video berdurasi 52 saat yang tular memaparkan buaya bersaiz besar itu berenang di tebing berbatu pantai tersebut.
Difahamkan, kini lokasi tersebut menjadi laluan buaya tembaga atau dikenali saltwater crocodile.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya belum menerima aduan berhubung kejadian tersebut namun akan menjalankan siasatan lanjut.
“Jika ternampak buaya maklumkan kepada Jabatan Perhilitan atau pihak berkuasa dan jangan melakukan sebarang provikasi atau mengganggu buaya tersebut. Kami akan mengambil tindakan susulan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bulan lalu, tular dua ekor buaya bersaiz agar besar muncul lagi di pantai peranginan ini apabila dilihat berlegar-legar di Pantai Tanjung Gemok.- KOSMO! ONLINE














