fbpx
Kamaruzaman Md Ali (belakang empat dari kiri) bersama wakil agensi kerajaan, pemain industri dan peserta yang hadir pada sesi libat urus TVET di Bangi baru-baru ini.

Transformasi sistem TVET perlukan komitmen bersepadu semua pihak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Transformasi sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara menuntut komitmen bersepadu daripada kerajaan, pemain industri dan penyedia latihan kemahiran untuk memastikan pembangunan bakat masa hadapan dapat diperkukuh secara menyeluruh.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Dr Kamaruzaman Md Ali berkata pembangunan bakat negara perlu digerakkan secara lebih tangkas dan responsif agar selari dengan kepesatan perkembangan teknologi global.

“Usaha tersebut bertepatan dengan aspirasi ‘Revolusi TVET: Mengupayakan Kompetensi, Memacu Pertumbuhan Negara’ yang memberi penekanan kepada penghasilan tenaga kerja mahir dalam menyokong pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi libat urus TVET–industri anjuran Yayasan Mahir Malaysia bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di Bangi baru-baru ini.

Sesi libat urus itu menghimpunkan wakil pengurusan tertinggi agensi kementerian, pemain industri serta penyedia latihan kemahiran berimpak tinggi dari seluruh negara.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Mahir Malaysia, Datuk Sri Ganes Palaniapan menjelaskan, pihaknya komited memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam memperkukuh sinergi antara industri dan pusat bertauliah bagi memperkasa ekosistem pembangunan bakat negara.

Ujarnya, inisiatif tersebut penting dalam usaha melahirkan lebih ramai ‘Wira TVET’ yang bukan sahaja kompeten dan berdaya tahan, malah berupaya memenuhi tuntutan ekonomi digital serta menyokong peralihan ke arah industri hijau negara.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Yayasan Mahir Malaysia menyambut baik pemerkasaan serta peluasan skop Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) yang diluluskan baru-baru ini kerana ia dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh ekosistem TVET negara.

“Yayasan Mahir Malaysia juga berbesar hati melancarkan penjenamaan Wira TVET sebagai satu inisiatif bagi menarik lebih ramai penyertaan dalam program TVET berimpak tinggi serta mengangkat martabat tenaga kerja mahir sebagai pemacu utama pembangunan negara,” katanya.

Dalam sesi berkenaan, para peserta turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk R. Ramanan atas komitmen beliau dalam memperkasa sektor TVET, termasuk melalui pemerkasaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652).

Pindaan akta berkenaan dilihat sebagai langkah progresif ke arah memperkukuh tadbir urus sistem persijilan kemahiran negara, selain meningkatkan standard pusat bertauliah serta memperluas pengiktirafan kepakaran tenaga kerja tempatan.

Selain sesi perkongsian industri, program tersebut juga menampilkan dialog dua hala yang memberi tumpuan kepada penjajaran kurikulum, pembangunan bakat berteknologi tinggi serta pengukuhan kerjasama latihan industri secara lebih tersusun. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI