KLANG – Tiga sekawan yang tular membuat kecoh dan bergaduh di Balai Polis Meru, Isnin lalu, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
A. Magendran, 44, dan B. Kalairasan, 38 yang merupakan pemandu lori serta P. Gopinath, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nor Azilah Mat.
Ketiga-tiga mereka didakwa telah sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun dengan menggunakan topi keledar dan batang besi.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Mereka juga dituduh berkelakuan tidak senonoh di dalam bangunan polis dengan buat bising dan bergaduh seterusnya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Kalairasan juga didakwa telah melakukan khianat dengan merosakkan televisyen di Balai Polis Meru seterusnya menyebabkan kerugian.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dengan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Gopinath yang merupakan kelindan lori turut dituduh mengeluarkan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki berusia 24 tahun dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Ia membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-keduanya.
Kesemua perbuatan dilakukan ketiga-tiga tertuduh adalah di Balai Polis Meru kira-kira pukul 9.47 malam, 2 Mac lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Salman Alfarisi Nawawi dan Ahmad Sulfie Abu Hassan manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam A. Biranta.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan masing-masing sebanyak RM13, 000 kepada Kalairasan dan Gopinath. Sementara, Magendran dibenarkan ikat jamin sebanyak RM9,000 dan melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Sebutan semula kes 25 Mei 2026.
Kosmo! semalam melaporkan perebutan kawasan sekuriti di tapak perumahan menjadi motif kekecohan dan pergaduhan melibatkan dua kumpulan lelaki di Balai Polis Meru.
Lapan suspek berusia 28 hingga 41 tahun kemudiannya ditahan dalam tiga operasi berasingan dilakukan polis.
Siasatan mendapati kesemua suspek terlibat mengenali satu sama lain dan terlibat dalam geng kongsi gelap dengan semasa kejadian kesemua suspek itu di bawah pengaruh alkohol. – KOSMO! ONLINE














