PARIT – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 bersekali dengan majlis berbuka puasa di Masjid An-Nur, Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Parit malam ini.
Majlis turut diserikan dengan acara penyampaian bantuan Hari Raya Aidilfitri MAIPk tahun 1447H/2026M oleh Sultan Nazrin kepada penerima yang terdiri daripada asnaf, fakir dan miskin di seluruh Perak.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Syamsul Hazeman Md. Salleh, dana zakat berjumlah RM12,601,800 itu bakal memberi manfaat kepada 42,006 penerima.
Katanya lagi, dana itu telah diserahkan kepada kepada penghulu mukim dari 12 daerah sebagai mewakili para penerima yang merupakan asnaf fakir dan miskin yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Zakat Fitrah Masjid dan Surau Diri Jumaat di negeri ini. – KOSMO! ONLINE














