JAKARTA – Satu klip video tular di media sosial menunjukkan sejumlah kereta yang dipandu laju sambil melakukan zigzag di sebuah lebuh raya di Jakarta, lapor laman berita Detik hari ini.
Kejadian dirakam berhampiran Tol Becakayu, Jakarta Timur semalam.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @detikcom menunjukkan beberapa buah kereta sedang berkonvoi sebelum melakukan zigzag di jalan tersebut.
Ketua Unit Keselamatan Lalu Lintas Polis Metropolitan Jakarta, AKBP Reiki Indra berkata, pihaknya telah mengenal pasti kereta-kereta itu melalui kamera pengawasan dan nombor pendaftaran kenderaan.
“Konvoi kereta yang memandu secara zigzag boleh mencetuskan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” kata Reiki.
Rakaman itu mencatatkan lebih 440,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Mereka ingin merasa hebat seperti filem Fast & Furious,” kata seorang netizen.
“Kalau kena apa-apa, mereka berduit,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














