fbpx
MUHAMMAD Salleh Hamzah (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Taiping atas empat pertuduhan amang seksual fizikal dan cabul terhadap tiga mangsa perempuan pada tahun 2022 dan 2025.

Pengerusi madrasah didakwa lagi empat pertuduhan seksual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAIPING – Pengerusi sebuah madrasah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan amang seksual fizikal dan mencabul tiga mangsa perempuan pada tahun 2022 dan 2025.

Tertuduh, Muhamad Salleh Hamzah, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Sakinah Haroon Arashid dan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pusat pengajian agama dalam daerah Larut, Matang dan Selama pada bulan Ogos dan September 2025.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama di hadapan Noor Sakinah, tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 14(a) kerana melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa perempuan berusia 17 tahun di lokasi sama pada Februari 2022.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dan RM8,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan, tidak menggangu mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Sementara itu, dalam prosiding di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang remaja perempuan berusia 19 tahun bagi maksud seksual di lokasi sama pada Februari 2022.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Ahmad Hamdi kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 15 April depan untuk serahan dokumen bagi kesemua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Pada 26 Februari lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita yang merupakan pengikutnya pada 2025.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN