MUAR – Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan termasuk memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian dua lelaki, Rabu lalu.
Tertuduh, Lim Tau Yong, 39, yang juga seorang duda membuat pengakuan tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memandu sebuah kenderaan secara cuai dan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian Norman Ahmad, 47, serta bapa saudaranya, Sa’at Kassim, 77.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Renchong, Pagoh di sini kira-kira pukul 8.42 pagi pada 4 Mac lalu.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis nimetazepam (Erimin 5) seberat 5.15 gram dan methamphetamine seberat 0.39 gram.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Pagoh-Renchong, Lenga di sini kira-kira pukul 11.20 pagi pada tarikh sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd. Piah manakala tertuduh diwakili peguam Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi pertuduhan pertama serta RM8,000 lagi bagi pertuduhan kedua dan ketiga.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 3 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Terdahulu, dalam kejadian tersebut, Norman yang menunggang motosikal bersama bapa saudaranya maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah pikap yang dipandu tertuduh.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.-KOSMO! ONLINE














