fbpx
Fadhlina (kiri) ketika memberikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Pra Pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan Majlis Berbuka Puasa di Ideas Hotel Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

PBAKL 2026 lebih prograsif, 1,210 reruai disedia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 bakal tampil lebih progresif apabila sebanyak 1,210 reruai disediakan sepanjang penganjuran yang dijadual berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Majlis Pra Pelancaran PBAKL 2026 yang disempurnakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini diadakan bersama Majlis Berbuka Puasa bersama pemain industri perbukuan Malaysia dalam suasana penuh ukhuwah Ramadan.

Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dalam kenyataan memaklumkan penganjuran bersepadu itu sebagai manifestasi komitmen memperkukuh kerjasama strategik antara kementerian dan pemegang taruh industri buku negara.

Menurutnya, edisi kali ini mengangkat tema ‘Malaysia Membaca: Merayakan Buku’ dengan pelbagai pengisian berskala besar melibatkan penyertaan tempatan dan antarabangsa.

“Sebanyak 1,210 reruai akan disediakan bagi memberi ruang lebih luas kepada penerbit, penulis, pengedar dan pencetak mempamerkan karya terbaharu sekali gus merancakkan ekonomi sektor perbukuan,” katanya.

Arab Saudi diumumkan sebagai Negara Fokus bagi memperkenalkan kecemerlangan literasi dan penerbitan negara itu, manakala Pahang dipilih sebagai Negeri Tamu dengan menampilkan kekayaan warisan serta sumbangan literasi negeri berkenaan.

PBAKL 2026 turut menampilkan Pavilion KPM, Pavilion Kementerian Perpaduan Negara dan Pavilion Baitul Hikmah Madani oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai hab intelektual sepanjang pesta berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Selain itu, Asian Rights Fair (ARF) akan menjadi platform pertukaran hak cipta untuk mengantarabangsakan karya tempatan, manakala Festival Sastera Kanak-Kanak, Festival Kata serta program MIFLA Junior memberi fokus kepada pembangunan literasi generasi muda.

Tiga lokasi utama iaitu Pentas Utama, Dewan Merdeka dan Dewan Tun Razak 3 bakal menjadi tumpuan pelbagai persembahan seni, dialog intelektual dan aktiviti pembacaan buku yang inklusif kepada semua lapisan masyarakat.

KPM optimis PBAKL 2026 akan terus menjadi medan strategik memperkukuh budaya membaca sebagai gaya hidup rakyat Malaysia selaras aspirasi Malaysia Madani. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI