fbpx
MOHD. Azlan Mat Rahim didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Parit selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu, Isnin lalu.

Padah tipu MyKad hilang, pembantu gerai didenda RM500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PARIT – Gara-gara membuat laporan palsu berhubung kehilangan kad pengenalan (MyKad), seorang pembantu gerai burger didenda sebanyak RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mohd. Azlan Mat Rahim, 40, turut berdepan hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda. Hukuman itu diputuskan selepas Mohd. Azlan membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan pengakuan secara lisan dan bertulis berkaitan jenayah curi di mana dia ketahui adalah palsu dengan niat menyebabkan pegawai penyiasat menggunakan kuasa penyiasatan yang sah di sisi undang-undang.

Kesalahan dilakukan di Pejabat Kaunter Aduan Balai Polis Seri Iskandar, Seri Iskandar pada pukul 10.16 pagi, 2 Mac lalu. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd. Syukri Abdul Talib memohon hukuman setimpal ke atas Mohd. Azlan sebagai pengajaran, namun peguam Noor Shafarin Abdullah merayu hukuman lebih rendah kerana anak guamnya bekerja di gerai burger dengan pendapatan RM40 sehari.

“Tertuduh mempunyai empat anak dan turut berdepan masalah kesihatan seperti tekanan darah rendah, kolesterol dan hipokalemia. Tertuduh hanya mampu membayar hukuman yang rendah dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama,” katanya.

Tertuduh membayar denda tersebut.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN