PETALING JAYA – Melody Kindyland antara tadika bukan francais terbesar di Malaysia telah dilantik untuk membangunkan serta mengendalikan Kinderhub, pusat jagaan kanak-kanak bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Melody Kindyland, Samuel Swea berkata, penubuhan pusat jagaan dalaman itu merupakan langkah praktikal bagi memenuhi keperluan kakitangan.
Malah katanya, akses kepada pusat jagaan yang berkualiti memberi kesan langsung terhadap penyertaan tenaga kerja dan tahap komitmen pekerja.
“Apabila pusat jagaan kanak-kanak beroperasi dalam persekitaran korporat, ia perlu mematuhi piawaian tadbir urus serta tahap ketelusan operasi yang tinggi.
“Pengalaman kami di peringkat nasional membolehkan kami memperkukuh dan menyesuaikan sistem pengurusan agar selari dengan keperluan serta jangkaan organisasi berskala besar,”katanya dalam satu kenyataan.
Peranan Melody Kindyland merangkumi perancangan pusat penjagaan, penyelarasan pematuhan piawaian dan peraturan, pengambilan tenaga pengajar serta pemantauan operasi harian.
Ia merupakan tanggungjawab yang menuntut keseimbangan antara kepakaran pendidikan dan disiplin pengurusan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi ibu bapa yang bekerja, kemudahan jagaan anak yang selamat dan boleh dipercayai sering menjadi faktor utama dalam mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga.
Justeru, penyediaan pusat jagaan oleh majikan kini semakin dilihat sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan modal insan.
Pada masa sama, syarikat itu optimis untuk memperluaskan model tersebut ke negeri-negeri lain dengan mengekalkan standard kurikulum serta latihan guru yang seragam.
“Fokus utama syarikat itu tetap kepada pembangunan awal kanak-kanak selaras dengan perubahan keperluan tenaga kerja masa kini.
“Penyediaan pusat jagaan anak di tempat kerja turut dikaitkan dengan peningkatan kadar pengekalan pekerja serta membantu ibu bapa kembali bekerja selepas cuti bersalin,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














