RABAT – Persekutuan Bola Sepak DiRaja Maghribi (FRMF) membuat keputusan mengejut memecat Walid Regragui selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan itu walaupun kejohanan Piala Dunia 2026 hanya berbaki tiga bulan sahaja lagi.
Keputusan itu dibuat oleh pihak FRMF awal pagi semalam dengan persekutuan turut mengesahkan pengendali skuad bawah 20 tahun (B-20), Mohamed Ouahbi dinaikkan pangkat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Regragui.
Difahamkan, kegagalan Regragui membantu The Atlas Lions menjuarai trofi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) di laman sendiri susulan tewas kepada Senegal di pentas final pada Januari lepas menjadi faktor utama keputusan itu dibuat.
Regragui yang berusia 51 tahun menerima keputusan itu dengan tangan terbuka dan harap pasukan kebangsaan dapat melakar sejarah baharu pada saingan Piala Dunia 2026, Jun depan.
“Saya meninggalkan jawatan ini dengan penuh kesetiaan, rasa syukur dan keyakinan bahawa saya telah berkhidmat untuk negara,” katanya.
Menurut sumber rapat dengan persekutuan, pelantikan Ouahbi merupakan langkah strategik bagi memastikan pasukan kebangsaan terus berkembang menjelang Piala Dunia.
Maghribi diundi dalam Kumpulan C bersama gergasi lima kali juara, Brazil, Scotland dan Haiti dengan sasaran untuk menyamai pencapaian mara ke separuh akhir seperti yang dilakukan pada edisi 2022 di Qatar. – AGENSI














