KLANG – Lelaki yang merempuh dua penembak bermotosikal hingga menyebabkan seorang daripada mereka maut di Jalan Keretapi Lama, Tok Muda, Kapar, di sini, direman selama lima hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap suspek tempatan berusia 49 tahun itu dibenarkan Majistret Nur Atikah Zakaria. Seorang lagi penunggang motosikal berusia 34 tahun yang cedera dalam rempuhan tersebut pula direman selama enam hari.
Prosiding reman terhadap lelaki itu dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini di hadapan Penolong Pendaftar Sarina Sulaiman.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan lanjut masih dilakukan termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian.
“Setakat ini, siasatan mendapati mereka tidak mengenali antara satu sama lain dan bukan daripada kumpulan yang sama,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan seorang daripada dua penembak bermotosikal yang dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Keretapi Lama disahkan meninggal dunia, manakala rakannya cedera.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dipetik berkata, siasatan mendapati kedua-dua lelaki yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dipercayai melepaskan tembakan ke arah pemandu lori di Kampung Perepat sebelum dikejar majikan mangsa hingga ke Jalan Keretapi Lama.
Lelaki itu kemudian melanggar motosikal tersebut apabila salah seorang daripada mereka mengacukan objek menyerupai pistol sebelum terjatuh dan terseret di simpang masuk Taman Sri Kapar
Semakan mendapati lelaki yang maut mempunyai 23 rekod jenayah, manakala rakannya yang cedera memiliki 10 rekod jenayah selain dikehendaki di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
Majikan yang merempuh motosikal itu pula mempunyai rekod kes dadah dan jenayah di bawah Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini tular beberapa video termasuk memaparkan kenderaan pacuan empat roda dinaiki suspek ‘melenyek’ kedua-dua mangsa tersebut. – KOSMO! ONLINE














