KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan langkah keselamatan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kepentingan antarabangsa di negara ini terpelihara susulan konflik di Asia Barat terutamanya di Iran.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pihaknya telah memastikan rondaan dan pemeriksaan dipertingkatkan sama ada di sempadan ataupun aset berkepentingan milik Amerika Syarikat dan juga Eropah yang mungkin menjadi sasaran tertentu kepada pihak-pihak yang berkaitan.
“Di negara kita ini ada lebih kurang 2,500 orang warga Iran yang menetap di negara ini dan kita juga sentiasa memantau kesemua ini bagi memastikan keselamatan kita adalah dalam keadaan yang baik dan terkawal,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Khalid memaklumkan PDRM telah mengenal pasti beberapa individu untuk diambil keterangan berhubung dakwaan wujud usaha oleh pihak tertentu yang dipercayai mahu menjatuhkan kerajaan Malaysia.
“Setakat hari ini, tiga kenyataan telah direkodkan daripada individu-individu yang berkaitan dengan perkara tersebut. Proses pengambilan keterangan itu dijalankan susulan laporan polis yang dibuat sebelum ini,” katanya.
Tambahnya, pihaknya akan meneruskan proses siasatan dan pengambilan kenyataan berdasarkan maklumat-maklumat baharu yang diperoleh dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE














