fbpx
Sisa e-waste dan peralatan memproses yang dirampas di kilang kawasan Perindustrian Kapar Bestari.

Kilang e-waste haram digempur, rampasan RM6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Kegiatan sebuah kilang memproses sisa elektronik (e-waste) secara haram terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa dalam kejadian di kawasan Perindustrian Kapar Bestari, di sini, semalam.

Serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi itu turut menemukan sejumlah 1,491 tan e-waste dan peralatan pemprosesan dianggarkan RM6 juta.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah (1), Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang dipercayai penjaga premis ditahan bersama 38 pekerja warga asing yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta permit kerja sah.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati penjaga premis berkenaan juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan bahan-bahan yang disimpan serta diproses di premis tersebut.

“Hasil pemeriksaan di lokasi serbuan, pihak berkuasa merampas pelbagai bahan dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste secara haram.

“Ini termasuk tembaga sebanyak kira-kira 120,000 kilogram (kg), aluminium yang telah diproses (560,000 kg) dan aluminium belum diproses (811,300 kg),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi yang dijalankan PPM Pelabuhan Klang dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor turut merampas enam buah forklift, satu unit alat penimbang industri serta pelbagai mesin dan peralatan pengisar.

Jaffri menambah, aktiviti pemprosesan e-waste secara haram berisiko memberikan kesan kepada alam sekitar serta melanggar peruntukan undang-undang berkaitan.

“Kes dirujuk kepada JAS untuk tindakan lanjut di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN