fbpx
Anggota penguat kuasa MPKS memeriksa dan menyita peralatan premis dalam operasi di sekitar Jeram, Kuala Selangor.

Kilang dan bengkel haram di Jeram diarah tutup serta-merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA SELANGOR – Tindakan sebuah kilang melerai kabel dan bengkel memproses perabot dipercayai beroperasi tanpa lesen sejak tiga bulan lalu terbongkar selepas digempur di sekitar Jeram di sini, semalam.

Serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu dilakukan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) yang mengarahkan penutupan premis serta menyita beberapa peralatan perniagaan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKS, Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, operasi bersepadu selama lima jam itu dijalankan bagi membanteras aktiviti perindustrian tanpa kebenaran di daerah berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan di beberapa lokasi mendapati dua premis masih beroperasi manakala dua lagi telah ditutup.

“Sebuah kilang melerai kabel serta bengkel memproses perabot dan besi dikompaun kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007.

“Premis terlibat turut diarahkan menghentikan operasi serta ditutup serta-merta,” katanya hari ini.

Operasi itu turut disertai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Jelas Mohamad Lutfi, pelbagai peralatan termasuk mesin pengasah, mesin pemotong kabel dan besi serta forklift turut disita, selain kompaun dikeluarkan atas kesalahan kekotoran premis dan struktur tanpa kebenaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN