PETALING JAYA – Seorang pensyarah universiti terpaksa berkorban mengeluarkan sejumlah wang untuk membeli tiket penerbangan semata-mata bagi memastikan dia dan dua anaknya dapat kembali ke tanah air dengan selamat.
Dr. Siti Raudzah Ghazali yang juga Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sarawak berkata, dia bersama sekumpulan jemaah terkandas di Arab Saudi sebaik selesai menunaikan umrah susulan penutupan ruang udara ekoran konflik serangan Amerika Syarikat dan Iran baru-baru ini.
Katanya, pengalaman tersebut meninggalkan kesan spiritual yang mendalam meskipun terpaksa menanggung kos tambahan yang besar demi memastikan tanggungjawab terhadap kerjaya dan pendidikan anak-anak tidak terabai.
“Saya bersama dua anak yang juga penuntut universiti sepatutnya pulang ke tanah air pada 28 Februari lalu selepas selesai menjalani pakej umrah 12 hari 10 malam bersama agensi.
“Kami sudah berada di lapangan terbang di Jeddah apabila menerima e-mel pemberitahuan daripada Malaysia Airlines (MAS) bahawa penerbangan dibatalkan, “ katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurutnya, situasi menjadi semakin tidak menentu apabila berita mengenai serangan ketenteraan mula tersebar.
Pihak agensi segera mengatur penginapan hotel buat jemaah yang terkandas, namun kebimbangan mula timbul memandangkan sesi perkuliahan anak-anaknya dijadualkan bermula pada 1 Mac.
Penjadualan semula penerbangan cuba dilakukan pada 2 Mac, namun usaha itu sekali lagi menemui jalan buntu apabila penerbangan MAS dibatalkan buat kali kedua atas faktor keselamatan yang tidak dapat dielakkan.
“Isu peperangan adalah sesuatu yang sukar dijangka. Selepas berbincang dengan suami, kami nekad membeli tiket sendiri menggunakan penerbangan Saudi Airlines dengan kos RM2,416.87 bagi setiap seorang,“ katanya.
Siti Raudzah berkata, dia mahu segera pulang ke tanah air untuk bekerja dan anak-anaknya juga tidak boleh ketinggalan menghadiri kuliah pada minggu pertama. Beliau merupakan antara jemaah terawal yang terkandas di Madinah susulan konflik di Asia Barat.
Siti Raudzah berkata, dia sekeluarga selamat tiba di tanah air pada pukul 3.55 petang, 3 Mac lalu menerusi penerbangan terus dari Madinah ke Kuala Lumpur.
Meskipun terpaksa mendahulukan wang sendiri dalam jumlah besar, beliau menyifatkan perkara tersebut sebagai pengorbanan yang berbaloi.
Beliau bersama rakan-rakan jemaah lain yang senasib dengannya kini merancang untuk berbincang dengan pihak agensi berkaitan tuntutan bayaran balik atau pemberian tiket terbuka (open ticket).
“Secara peribadi, saya reda jika tidak mendapat ganti rugi. Paling penting adalah anak-anak selamat kembali ke kampus. Umrah kali ini sangat istimewa dan memberi impak jiwa yang cukup besar buat kami sekeluarga,” ujarnya.
Difahamkan, baki jemaah lain kini dalam proses untuk dibawa pulang secara berperingkat oleh pihak agensi menggunakan penerbangan Mas bermula minggu ini.














